DAKWAAN
Apakah Isa Al Masih mengatakan tentang diri-Nya sendiri?
Legenda, Orang gila, Pembohong, atau Tuhan?
Dalam bukunya yang terkenal -- Mere Christianity, C.S. Lewis membuat pemerhatian seperti berikut, “Jika kata-kata Isa diucapkan oleh seorang manusia biasa sahaja, orang itu tentu bukan seorang guru moral yang agung. Orang itu mungkin seorang gila ataupun dia Syaitan. Anda harus memilih. Sama ada dia benar-benar adalah Anak Allah, atau orang gila, atau lebih buruk daripada itu. Tetapi janganlah membuat kesimpulan karut bahawa Dia hanya seorang guru yang agung."
Isa hanya boleh merupakan salah satu daripada empat pilihan berikut: legenda, pembohong, orang gila -- atau Tuhan. Begitu banyak bukti dari segi sejarah dan kaji purba yang menyokong kewujudan Isa sehingga setiap ahli sejarah yang terkenal bersetuju bahawa Dia bukan hanya legenda. Jika Dia seorang pembohong, mengapa Dia rela mengorbankan diri untuk dakwaan yang tidak benar? Dan, jika Dia seorang gila, bagaimanakah Dia boleh berdebat dengan penuh bijaksana, atau menangani tekanan daripada pengkhianatan dan penyaliban? Bagaimanakah Dia boleh menunjukkan kasih yang mendalam terhadap mereka yang menentang-Nya? Dia mendakwa diri-Nya Tuhan. Semua bukti menyokong dakwaan-Nya itu.
Di sini ada beberapa dakwaan Isa tentang diri-Nya.
ISA MENDAKWA BAHAWA ...
Dia menjalani hidup yang tidak berdosa
Isa menanyakan orang ramai yang marah kerana Dia mendakwa diri-Nya Tuhan: "Siapakah antara kamu semua boleh menunjukkan bahawa saya berdosa?" Yang lebih menakjubkan ialah tidak seorang pun dapat menjawab-Nya! Tidak pernah ada seorang manusia yang menjalani hidup yang tidak berdosa, kecuali Isa.
Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa 'Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU'. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku."
Yahya 8:46-47 "Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya."
Dia jalan tunggal kepada Allah
Bukan salah satu daripada beberapa jalan, tetapi satu-satunya jalan. Bukan untuk mengajar tentang jalan itu, tetapi Dialah jalan itu kepada Allah. Tidak pernah ada orang mengatakan dakwaan seperti ini, kecuali Isa. Dan Dia juga membuktikan dakwaan-Nya melalui kasih, hidup yang seimbang dan mukjizat-mukjizat-Nya.
Yahya 14:6 "Isa menjawab, 'Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.'"
Matius 11:27 "Isa berkata lagi, 'Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak, dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa.'"
Dia menikmati kemuliaan ketika bersama dengan Allah di syurga
Isa mendakwa bahawa Dia sudah ada sebelum mereka yang Dia sedang berbual-bual itu dilahirkan. Rasul Yahya menulis bahawa sejak permulaan, Isa bersama-sama Allah, dan "Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia." (Yahya 1:1-5)
Yahya 17:5 "Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan."
Dia dapat mengampunkan dosa
Salah satu sebab mengapa pemimpin Yahudi begitu marah terhadap Isa ialah kerana Dia selalu mengampunkan dosa orang. Pemimpin-pemimpin Yahudi memahami dengan jelas bahawa sebab dosa merupakan pemberontakan terhadap Allah, maka hanya Allah sahaja yang boleh mengampunkan dosa.
Lukas 5:20-21 "Apabila Isa melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu: 'Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.' Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, 'Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!'"
Lukas 7:48-49 "Lalu Isa berkata kepada wanita itu, 'Dosamu sudah diampunkan.' Mereka yang makan bersama-sama Isa mula bertanya sesama sendiri, 'Siapakah dia ini sehingga dapat mengampunkan dosa?'"
Dia Raja syurgawi
Lukas 22:69 "Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa."
Lukas 23:1-3 "Semua anggota majlis bangkit, lalu membawa Isa ke hadapan Pilatus. Di situ mereka mula menuduh Dia dan berkata, 'Kami dapati orang ini menyesatkan rakyat. Dia menghasut orang ramai supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar, dan dia mengaku diri sebagai Al Masih, seorang raja.' Pilatus bertanya kepada Isa, 'Betulkah kamu raja orang Yahudi?' Isa menjawab, 'Begitulah yang tuan katakan.'"
Yahya 18:36-37 "Isa berkata, 'Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!' Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, 'Jika demikian, adakah kamu ini raja?' Isa menjawab, 'Tuan yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.'"
Dia boleh memberikan hidup sejati dan kekal
Dia tidak sahaja memberitahu orang bagaimana mencari hidup kekal. Dia mendakwa bahawa Dia boleh memberikan hidup itu.
Yahya 6:40 "Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat."
Yahya 6:47 "Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal."
Yahya 10:28-30 "Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan-Ku. Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa. Bapa dan Aku satu."
Yahya 11:25 "Isa berkata kepada Marta, 'Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati."
Dia akan mati dan bangkit semula
Yahya 10:17-18 "Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku."
Yahya 12:32-33 "'Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.' Dengan kata-kata-Nya ini, Isa menunjukkan cara Dia akan mati."
Yahya 16:16 "Isa berkata, 'Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan mellihat Aku."
Lukas 18:31-33 "Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, 'Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Baitulmuqaddis. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku. Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia. Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula.'"
Dia akan kembali untuk menghakimi dunia
Matius 24:27,30 "Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat. Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di atas awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar."
Matius 25:31-32 "Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan bersemayam di atas takhta-Nya yang mulia. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing."
Markus 14:61b-62 "Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, 'Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?' Isa menjawab, 'Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!'"