Jesus nailed to cross

IMPAK

Bagaimanakah hidup Isa mempengaruhi dunia?

Tidak ada sesiapa pun yang mengubah dunia seperti Isa.

Sepanjang sejarah, tiada sesiapa pun yang melebihi Isa dari segi pengaruh-Nya terhadap manusia. Tidak pernah ada pemimpin agung lain yang mengakibatkan begitu banyak perubahan positif dalam hidup pengikut-pengikut mereka. Bagi mereka yang bertemu dengan Al Masih, pandangan mereka terhadap hidup berubah selama-lamanya. Kerana kepercayaan mereka, mereka tidak berasa berat menghadapi kesusahan, penderitaan, bahkan maut. Ramai mengabdikan hidup mereka untuk melayan orang lain, tanpa menghiraukan keperluan dan keinginan diri sendiri.


Umat Kristian abad pertama

Selepas Isa disalibkan, hati pengikut-pengikut-Nya hancur luluh. Di Getsemani, mereka pernah meninggalkan Isa untuk menyelamatkan diri. Tetapi setelah mereka bertemu dengan Al Masih yang terbangkit, mereka mengalami perubahan radikal. Tiba-tiba mereka rela mengorbankan diri demi menyebarkan kisah Isa ke seluruh dunia. Ramai diseksa dan dibunuh kerana menyebarkan bahawa Isa masih hidup.

Mereka yang skeptis dan juga musuh-musuh turut berubah. Bagi adik Isa, Yakobus, tidak ada apa yang istimewa tentang Isa. Tetapi selepas abangnya membangkit dan menampakkan diri kepadanya, Yakobus bukan sahaja percaya bahawa Isa adalah Allah, dia juga menjadi pemimpin di gereja Baitulmuqaddis. Malahan, Yakobus mati syahid pada tahun 62 Setelah Masihi.

Saulus dari Tarsus merupakan penganiaya utama terhadap umat Kristian awal. Dia mengheret mereka ke penjara. Apabila mereka tidak meninggalkan agama Kristian, dia akan mengarahkan pelaksanaan hukuman mati. Kerana suatu pertemuan dramatik dengan Al Masih yang terbangkit ketika Saulus dalam perjalannannya ke Damsyik, Saulus kemudian berubah. Dari Saulus, seorang musuh agama Kristian, dia berubah menjadi Paulus, seorang penginjil utama agama Kristian. Dia meninggalkan kedudukan istimewanya di kalangan masyarakat Yahudi, untuk menjadi seorang mubaligh kembara yang mengalami penderitaan yang amat sangat demi menyebarkan kasih Al Masih ke seluruh empayar Rom. 

Gabenor Rom, Plinius Secundus, menulis di dalam Epistles X96 bahawa umat Kristian begitu mengasihi kebenaran sehingga mereka sanggup mengorbankan nyawa deminya. Walaupun dia diarahkan untuk menyeksa dan membunuh mereka yang enggan mengutuk Isa, dia sentiasa merasa kagum terhadap komitmen mereka yang kukuh itu, iaitu "tidak berbuat apa-apa yang jahat termasuk menipu, mencuri, berzina, atau menjadi saksi palsu."  Berabad-abad lamanya, umat Kristian yang benar di seluruh dunia merupakan teladan yang baik dari segi menonjolkan sifat-sifat kebenaran dan kasih yang diperlihatkan dalam hidup Isa sendiri.  

Ahli sejarah, Philip Schaff, menggambarkan pengaruh Isa terhadap sejarah dan budaya di seluruh dunia begini, 
"Isa dari Nasaret, 
tanpa wang dan senjata, menaklukkan berjuta-juta orang melebihi Aleksander, Kaisar, Muhammad, dan Napoleon;
tanpa sains..., mengetahui hal-hal berkenaan manusia dan ketuhanan lebih daripada semua ahli falsafah dan cendekiawan; 
tanpa pendidikan yang tinggi, mengucapkan kata-kata yang tidak pernah diucapkan oleh sesiapa pun; 
tanpa menulis sebaris ayat, merupakan subjek untuk lebih banyak khutbah, ceramah, perbincangan, lukisan, dan lagu puji-pujian daripada semua orang agung yang pernah hidup." 


Agama Kristian zaman moden 

Kuasa Al Masih tidak dibatasi oleh ruang dan waktu. Bahkan dalam zaman kita, ramai orang yang bersikap skeptis juga menjadi yakin seperti umat Kristian pada abad pertama. Misalnya, Lew Wallace, seorang jeneral dan sasterawan yang terkenal, adalah seorang ateis. Selama dua tahun, Wallace mengkaji di semua perpustakaan yang terkenal di Eropah dan di Amerika, untuk mencari maklumat yang boleh membinasakan agama Kristian untuk selama-lamanya. Semasa dia menulis bab kedua untuk bukunya, tiba-tiba dia melutut dan berteriak, "Isa, Allah aku."

Apabila dia disuakan dengan keterangan yang kukuh, dia tidak boleh lagi menafikan bahawa Isa Al Masih memanglah Anak Allah. Kemudian, Lew Wallace menulis Ben Hur, salah sebuah novel Inggeris terkenal yang pernah ditulis berkaitan dengan zaman Al Masih.

Mendiang profesor C.S. Lewis di Universiti Oxford, England, juga merupakan seorang agnostik yang menyangkal ketuhanan Al Masih untuk bertahun-tahun lamanya. Tetapi, dia juga secara jujur berserah kepada Isa sebagai Allah dan Penyelamatnya, selepas mengkaji bukti-bukti yang kukuh mengenai ketuhanan Isa. Dalam tempoh beberapa tahun, dia telah menulis banyak buku mengenai agama Kristian, termasuk Mere Christianity dan The Screwtape Letters.

Dalam abad ini, ramai lagi orang telah mengabdikan diri untuk menyebarkan mesej Kristian. Sesetengah daripada mereka diseksa dan ada juga yang dibunuh. Misalnya, salah seorang pemimpin Kristian Romania yang terkenal, Richard Wurmbrand, telah dipenjarakan selama 14 tahun dan diseksa berulang kali kerana mengendalikan sebuah gereja bawah tanah semasa pemerintahan Komunis. Walaupun dia dibebaskan dari Romania kerana tekanan antarabangsa, dia terus menerima ancaman maut dari rejim Komunis. Tetapi usaha-usaha mengugut ini gagal mengunci mulutnya. Dia terus menyebarkan berita baik Al Masih secara terbuka. 

Begitu juga di Korea. Seorang pemimpin Kristian yang dikenali ramai, Joon Gon Kim, menyaksikan dengan matanya sendiri bagaimana isteri dan bapanya dibunuh oleh penyokong komunis dari kampungnya sendiri. Dia sendiri dipukul dengan kejam dan dibiarkan mati. Walau bagaimanapun dia terselamat. Dia minta Allah untuk memberikannya kasih terhadap musuh-musuhnya. Pada akhirnya dia memimpin 30 orang Komunis kepada Al Masih, termasuk juga orang yang bertanggungjawab ke atas kematian ahli-ahli keluarganya.

Kasih Al Masih bukan sahaja memberi kekuatan kepada orang-orang Kristian untuk menghadapi penganiayaan dan kematian, tetapi juga menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih baik. Ibu Teresa merupakan suatu teladan yang sangat baik. Dia mencurahkan hidupnya untuk melayan mereka yang miskin papa. Dia pernah berkata begini, "Pelayanan kami hanya menyatakan kasih kami terhadap Allah." 

Seperti dia, ramai orang telah mengabdikan diri untuk melayan mereka yang hidup melarat, sama ada di tanah air sendiri atau di luar negeri. William dan Katherine Booth, pengasas Salvation Army, mempercayai bahawa melayan orang miskin adalah seperti melayan Al Masih sendiri. Gerakan yang mereka menubuhkan itu terdiri daripada mereka yang ghairah untuk berbuat sesuatu terhadap dunia di sekeliling mereka. 

Kesaksian-kesaksian lain, dari Asia Tenggara

Kisah Zia Nodrat, dari Afghanistan

Mereka semua ini telah menemui kepuasan dan sukacita ketika mereka mentaati ajaran Isa. Mereka berubah apabila mereka bertemu dengan Al Masih dan menyerahkan hidup mereka kepada Dia. Setiap daripada mereka telah memberikan impak yang positif terhadap dunia.

Anda mungkin juga ingin bertemu dengan Allah yang hidup dan mengalami kuasa perubahan-Nya. Keinginan Al Masih ialah memasuki hidup anda dan memberikan anda hidup baru dalam Dia. Untuk belajar bagaimana anda boleh mengembangkan hubungan peribadi dengan Isa, sila mengunjungi laman Anda.