ANDA
Apakah kaitannya semua ini dengan anda?
Bolehkah kami memiliki hubungan peribadi dengan Isa Al Masih pada masa kini?
Apakah Isa masih mengambil berat tentang kita? Apakah maknanya memiliki hubungan peribadi dengan Al Masih, dan bagaimanakah ini mempengaruhi hidup kita? Bagaimanakah seseorang boleh menjadi seorang Kristian? Berikut adalah maklumat yang boleh menjawab sesetengah soalan ini dan juga maklumat yang anda mungkin ingin mengetahui mengenai Isa.
Kerana kebangkitan Isa, pengikut-pengikut-Nya tidak menyembah seorang pengasas yang telah wafat
Mereka memiliki hubungan peribadi dengan Isa. Isa Al Masih hidup hari ini dan Dia memberkati semua yang mempercayai dan mentaati-Nya. Berabad-abad lamanya, ramai orang telah mengakui bahawa Isa bukan seorang biasa, termasuk mereka yang telah banyak mempengaruhi dunia. Ahli fizik dan falsafah, Blaise Pascal, mengambarkan keperluan manusia terhadap Isa begini: "Terdapat suatu kekosongan yang dibentuk oleh Allah di dalam hati setiap manusia, yang hanya boleh dipenuhi oleh Anak Allah, iaitu Isa Al Masih."
INGINKAH ANDA MENGENALI ISA SECARA PERIBADI?
Kerana Allah begitu mengasihi anda, Dia telah membuat semua persiapan yang perlu. Melalui kematian dan kebangkitan Isa Al Masih, anda boleh menikmati suatu hubungan peribadi dengan Dia. Isa menjambatani jurang yang memisahkan kita daripada Allah. Empat prinsip yang berikut ini dapat membantu anda mengetahui bagaimana anda boleh mengenali Isa secara peribadi, dan mengalami hidup berkelimpahan yang dijanjikan oleh Isa.
PRINSIP 1
Allah mengasihi anda dan mencipta anda untuk mengenali Dia secara peribadi
Yahya 3:16 "Allah begitu mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal."
Yahya 17:3 "Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Isa Al Masih yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal."
Apakah yang menghalang kita daripada mengenali Allah secara peribadi?
PRINSIP 2
Manusia berdosa dan terpisah daripada Allah, oleh itu kita tidak boleh mengenali Dia secara peribadi atau mengalami kasih-Nya
Roma 3:23 "Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka."
Roma 6:23 "Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Al Masih adalah anugerah Allah." (perpisahan rohani daripada Allah)
Roma 8:6-8 "Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian. Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Allah. Orang itu tidak mentaati hukum Allah, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Allah. Orang yang hidup menurut tabiat manusia, tidak dapat menyenangkan hati Allah."
Suatu jurang besar memisahkan manusia daripada Allah. Manusia cuba dengan sedaya-upaya untuk mencari Allah, dan hidup yang berkelimpahan melalui kehidupan yang baik, falsafah ataupun agama. Tetapi semua usaha itu sia-sia sahaja.
Prinsip ketiga menjelaskan satu-satunya jalan untuk menjambatani jurang ini ...
PRINSIP 3
Isa Almasihlah satu-satunya jalan yang Allah berikan untuk menyelesaikan masalah dosa manusia. Melalui-Nya anda boleh mengetahui dan mengalami kasih dan rancangan Allah untuk hidup anda.
Roma 5:8 "Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Al Masih mati bagi kita semasa kita masih berdosa."
1 Korintus 15:3-6 "... Al Masih mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula menurut Alkitab. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal."
Yahya 14:6 "Isa menjawab, 'Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.'"
Allah telah menjambatani jurang yang memisahkan kita daripada Dia dengan mengutus Isa Al Masih, untuk mati di atas salib menggantikan kita demi menebus kita daripada dosa.
Tetapi hanya mengetahui ketiga-tiga kebenaran ini adalah tidak mencukupi ...
PRINSIP 4
Kita mesti menerima Isa Al Masih sebagai penyelamat dan Allah kita secara peribadi. Dengan demikian, kita boleh mengetahui dan mengalami kasih dan rancangan Allah untuk hidup kita.
Yahya 1:12 "Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak-anak Allah."
Efesus 2:8-9 "Dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Isa. Keselamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu."
Menerima Al Masih melibatkan pertaubatan, dan mempercayai bahawa Al Masih akan masuk ke dalam hidup kita, mengampunkan dosa kita, dan menjadikan kita peribadi sesuai dengan kehendak-Nya. Hanya bersetuju bahawa Isa Al Masih ialah Anak Allah dan Dia mati di atas salib kerana dosa kita adalah tidak mencukupi. Begitu juga dengan pengalaman emosi. Kita mesti menerima Isa Al Masih dengan iman sebagai tindakan nekad kita.
Isa Al Masih sedang menunggu anda mengundang-Nya masuk ke dalam hidup anda. Al Masih berkata, "Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan bersama-sama dia dan dia makan bersama-sama Aku."
(Wahyu 3:20)
Mungkin anda dapat merasa bahawa Al Masih sedang mengetuk pintu hati anda. Dengan iman anda boleh menjemput Dia masuk sekarang juga. Allah mengetahui isi hati anda. Oleh itu anda tidak perlu risau bagaimana anda harus berdoa. Berikut adalah suatu doa yang dicadangkan:
"Isa Al Masih, aku memerlukan Engkau. Terima kasih kerana mati di atas salib menggantikan aku, untuk mengampunkan dosa-dosaku. Aku membuka pintu hatiku dan menerima Engkau sebagai Penyelamat dan Allahku. Kuasailah hidupku. Terima kasih kerana memberi hidup sejati dan kekal kepadaku. Jadikanlah aku seorang peribadi mengikut kehendak-Mu. Amin."
Adakah doa ini menyatakan keinginan hati anda? Jika ya, ucapkanlah doa ini sekarang juga, dan Al Masih akan memasuki hidup anda seperti yang telah dijanjikan-Nya. Sebaik sahaja anda menjemput Al Masih memasuki hidup anda, Dia tidak akan meninggalkan anda selama-lamanya.
Ibrani 13:5 "Allah sudah berfirman, 'Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.'"
Membuat keputusan untuk mengenali Allah secara peribadi merupakan keputusan paling penting dalam hidup anda. Jika anda baru sahaja meminta Isa Al Masih memasuki hidup anda, kunjungilah laman Maklum balas dan kirimkan e-mel kepada kami. Kami ingin menerima berita daripada anda.