MUKJIZAT
KEBANGKITAN
Kepercayaan agama Kristian berpusat pada kebangkitan Isa. Jika Isa tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan Kristian adalah sia-sia sahaja sebab Isa sendiri berkata bahawa Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga selepas kematian. Sebaliknya, jika Isa betul-betul bangkit daripada kematian, maka semua dakwaan-Nya adalah benar dan kami boleh pasti bahawa memang adanya hidup selepas kematian.
Terdapat banyak bukti yang menyokong dakwaan kebangkitan. Sebenarnya, terdapat lebih banyak bukti berdasarkan guaman-sejarah (apa yang biasa digunakan di makamah) yang menyokong kebangkitan daripada menyokong ketewasan Napoleon di Waterloo. Ada beberapa sebab mengapa mereka yang mengkaji kebangkitan tidak ragu-ragu lagi bahawa ini memang benar.
Isa sendiri meramalkan kematian dan kebangkitan-Nya, dan semua peristiwa ini terjadi seperti yang diramalkan
Yahya 2:19-21 "Isa menjawab, 'Runtuhkanlah Bait Suci ini; lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.' 'Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?' tanya mereka. 'Empat puluh enam tahun diperlukan untuk membina Bait Suci ini!' Sebenarnya Bait Suci yang dimaksudkan oleh Isa itu, tubuh-Nya sendiri."
Yahya 10:17 "Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali."
Yahya 16:16-23 "'Yesus berkata, 'Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.' Beberapa orang pengikut Isa bertanya sesama sendiri, 'Apakah maksud Dia berkata, 'Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku'? Dia juga berkata, 'Aku akan pergi kepada Bapa.' Apakah erti 'tidak lama lagi' itu? Kita tidak memahami apa yang dikatakan-Nya!'
Isa tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, 'Tadi Aku berkata 'Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.' Adakah kamu mempersoalkan hal itu? Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, hatinya susah kerana masa penderitaannya sudah tiba. Tetapi ketika anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita, kerana seorang anak sudah dilahirkan ke dunia. Demikianlah halnya dengan kamu: Sekarang kamu susah hati, tetapi Aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan dipenuhi kegembiraaan yang tidak dapat dirampas oleh sesiapa pun.
Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku."
Matius 12:40 "Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi."
Matius 16:21 "Sejak itu, Isa mula berkata dengan terus-terang kepada pengikut-pengikut-Nya, 'Aku harus pergi ke Baitulmuqaddis dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Akku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!"
Lukas 18:31-33 "Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, 'Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Baitulmuqaddis. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku. Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia. Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula."
Peristiwa ini didokumentasikan dengan baik
Ahli-ahli sejarah seperti Josephus (c.37-110 Setelah Masihi), Ignatius (c.50-115 Setelah Masihi), Justin Martyr (c.100-165 Setelah Masihi) dan Tertullian (c.160-220 Setelah Masihi) yakin tentang kesahan kebangkitan. Tulisan mereka mengesahkan apa yang dicatatkan oleh penulis-penulis Kitab Injil yang menurut cendekiawan Alkitabiah yang terkemuka, mencatatkan peristiwa itu seawal 37 Setelah Masihi, dan tidak lewat daripada 64 Setelah Masihi.
Tambahan lagi, ahli-ahli sejarah yang lain pada abad pertama dan kedua termasuk Cornelius Tacitus, Suetonius, Plinius Secundus, dan Lucian of Samosata mengakui bahawa peristiwa yang luar biasa ini memberikan impak terhadap mereka yang hidup pada zaman itu.
Kebangkitan sahaja merupakan penjelasan yang munasabah mengapa kubur itu kosong
Askar-askar Romawi mengawal dengan rapi kubur di mana jenazah Isa diletakkan. Malahan, pintu masuk ke kubur ditutup dengan batu yang besar. Pengawal Romawi itu yang biasanya terdiri daripada 16 ahli, sepatutnya menyebabkan sebarang usaha untuk mencuri jenazah Isa itu mustahil. Lagipun pengikut-pengikut Isa berasa sangat takut kerana nyawa mereka terancam.
Jika seperti yang didakwa oleh sesetengah orang, Isa tidak mati tetapi hanya menjadi lemah, pengawal-pengawal dan batu besar itu harus dapat menghalang Dia daripada melarikan diri. Selepas dipukul, dicambuk, digantung di atas salib selama enam jam, dilembing untuk memastikan Dia betul-betul mati, dan dibalut mengikut adat resam dengan 100 paun kain linen dan rempah, Isa tidak berupaya langsung untuk menggolekkan batu seberat dua ton, menewaskan 16 pengawal Romanwi dan selepas itu menampakkan diri dengan wajah yang berseri kepada pengikut-pengikut-Nya.
Pemimpin-pemimpin Yahudi pada masa itu boleh dengan senangnya menyangkal semua dakwaan tentang kebangkitan dengan hanya mengeluarkan jenazah Isa. Tetapi, mereka tidak dapat berbuat demikian sebab mereka tidak ada jenazah itu.
Beberapa orang menyaksikan kebangkitan itu
Selepas Isa membangkit daripada kematian, Dia menampakkan diri sekurang-kurannya sepuluh kali kepada mereka yang mengenali-Nya, dan kepada sebanyak 500 orang sekaligus. Semua ini bukan halusinasi; Isa makan dan berbual-bual dengan pengikut-pengikut-Nya dan mereka menjamah tubuh-Nya yang telah bangkit semula.
Lukas 24:36-39 "Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, tiba-tiba Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, 'Sejahteralah kamu!' Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka nampak hantu. Tetapi Isa berkata kepada mereka, 'Mengapa kamu takut? Mengapa hatimu ragu-ragu? Lihatlah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya."
Yahya 20:26-29 "Seminggu kemudian, pengikut-pengikut Isa berkumpul lagi di tempat itu dan Tomas hadir juga. Semua pintu terkunci, tetapi Isa datang dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, 'Salam sejahtera!' Kemudian Isa berkata kepada Tomas, 'Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku. Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah!' Tomas berkata kepada Isa, 'Ya Tuhanku! Ya Allahku!' Isa berkata kepadanya, 'Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!"
1 Korintus 15:3-8 "Apa yang aku sampaikan kepadamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Al Masih mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakub, dan kemudian kepada semua rasul. Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya."
Kebangkitan merupakan satu-satunya penjelasan yang munasabah tentang permulaan gerakan Kristian
Gereja Kristian bermula betul-betul di kota di mana Isa dibunuh dan dikebumikan. Kepercayaan bahawa Isa membangkit semula haruslah benar agar dapat berakar umbi di Baitulmuqaddis, dan menyebar ke seluruh dunia. Gereja Kristian kini merupakan institusi terbesar yang pernah wujud dalam sejarah manusia. Jelas sekali ini tidak akan terjadi jika kebangkitan hanya suatu cerita semata-mata.
Kebangkitan merupakan satu-satunya penjelasan yang munasabah mengapa hidup pengikut-pengikut berubah
Mereka meninggalkan dan bahkan menyangkal Isa semasa perbicaraan awam-Nya berlangsung. Selepas kematian-Nya, mereka merasa kecewa dan takut. Mereka tidak menyangka Isa akan membangkit daripada kematian. Tetapi, selepas kebangkitan Isa dan pengalaman mereka di Pentakosta, lelaki dan perempuan yang kecewa ini berubah kerana kuasa Al Masih. Dalam nama-Nya, mereka menterbalikkan dunia. Ramai mengorbankan diri kerana kepercayaan mereka; yang lain pula disiksa dengan teruknya. Tindak-laku yang berani ini tidak masuk akal jika bukan kerana keyakinan mereka bahawa Isa Al Masih benar-benar membangkit semula -- suatu kenyataan yang berbaloi untuk mengorbankan diri.
Berabad-abad lamanya, kebanyakan cendekiawan terkenal yang pernah mempertimbangkan bukti kebangkitan, percaya bahawa Isa hidup
Selepas meneliti bukti kebangkitan yang diberikan oleh penulis kitab Injil, mendiang Simon Greenleaf, seorang berwibawa dari segi isu guaman di Sekolah Guaman Harvard, membuat kesimpulan ini: "Adalah mustahil bahawa mereka boleh terus mempercayai jika Isa sebenarnya tidak membangkit daripada kematian." Encik Greenleaf adalah seorang profesor Yahudi yang menjadi seorang Kristian selepas dia sendiri mengkaji semua fakta itu.
Selepas mempertimbangkan semua bukti itu, apakah kesimpulan anda? Apakah anda mempercayai bahawa Isa masih hidup? Semua yang mempercayai bahawa Dia betul-betul membangkit boleh menerima hidup sejati dan kekal. Bahkan mereka dapat mengalami hubungan peribadi dengan Isa. Belajarlah bagaimanakah anda boleh memulakan hubungan kekal ini.