SELIDIK
LATARBELAKANG
Isa banyak sekali menggunakan perkataan "Anak Manusia" untuk menyifatkan Diri-Nya. Dalam Lukas 22:69, Dia merujuk kepada petikan dalam Perjanjian Lama (Daniel 7:13,14) tentang seorang anak manusia (manusia) yang telah diberikan sebuah kerajaan yang kekal. Menurut kefahaman orang-orang Yahudi, petikan itu merujuk kepada Mesias yang dijanjikan itu.
Daniel 7:13,14:
13 Dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak sesuatu yang seperti manusia. Dia datang diliputi awan, lalu menghampiri Dia yang hidup selama-lamanya, dan dihadapkan kepada-Nya.
14 Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya. Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir.
Lukas 22:69,70:
69 Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa."
70 Mereka semua bertanya, "Adakah kamu Anak Allah?" Isa menjawab, "Begitulah yang kamu katakan."
Hari Raya Paska merupakan suatu perayaan agama tahunan supaya orang-orang Yahudi mengenangkan bagaimana Allah menyelamatkan bangsa mereka daripada perhambaan di tanah Mesir. Mereka diingatkan terutamanya bagaimana pemusnah membunuh semua anak sulung bangsa Mesir, tetapi "melewati" semua keluarga Yahudi. Allah memberitahu mereka bahawa mereka akan dilindungi dengan memercikkan darah domba pada ambang dan tiang-tiang pintu rumah. Selepas peristiwa inilah orang-orang Mesir akhirnya membenarkan orang-orang Yahudi meninggalkan tanah Mesir. Bahagian penting dalam perayaan Paska ialah menyembelih dan memakan domba Paska.
Keluaran 12:1-28
1 Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun di negeri Mesir,
2 "Bulan ini menjadi bulan pertama bagi tahun kalendar kamu.
3 Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel: Pada hari kesepuluh bulan ini setiap orang lelaki mesti memilih seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk dimakan bersama-sama keluarganya.
4 Jika keluarganya terlalu kecil untuk menghabiskan seekor binatang, maka keluarga itu boleh makan binatang itu bersama-sama jiran mereka yang terdekat. Binatang itu harus dibahagi menurut jumlah orang yang makan.
5 Kamu boleh memilih seekor domba ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada cacat.
6 Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari keempat belas bulan itu. Pada sebelah petang hari itu, segenap umat Israel akan menyembelih binatang-binatang itu.
7 Mereka mesti mengambil sedikit darah binatang itu dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu.
8 Pada malamnya, daging binatang itu mesti dipanggang dan dimakan dengan sayur pahit serta roti tidak beragi.
9 Binatang itu mesti dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki dan isi perutnya. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu; jangan makan daging yang mentah atau yang direbus.
10 Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi; jika ada sisanya, daging itu mesti dibakar sampai habis.
11 Semasa makan, kamu mesti sudah berpakaian lengkap untuk perjalanan; kamu sudah memakai kasut dan memeegang tongkat. Kamu mesti makan cepat-cepat. Itulah Perayaan Paska untuk menghormati Aku, TUHAN.
12 Pada malam itu Aku akan menjelajahi seluruh negeri Mesir, dan membunuh setiap anak lelaki sulung, serta setiap anak jantan sulung binatang. Aku akan menghukum semua dewa di Mesir; Akulah TUHAN.
13 Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir.
14 Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya."
15 TUHAN berfirman, "Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi sahaja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.
16 Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan.
17 Rayakanlah jamuan roti tidak beragi ini, kerana pada hari inilah Aku membawa sukubangsa kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari ini untuk selama-lamanya.
18 Kamu mesti makan roti tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu.
19-20 Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi."
21 Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, "Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska.
22 Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi.
23 Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu.
24 Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya.
25 Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini.
26 Apabila anak-anak kamu bertanya, 'Apakah makna upacara ini?'
27 Kamu harus menjawab, 'Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.'" Kemudian orang Israel bersujud menyembah.
28 Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun.
Imamat 23:5
5 Perayaan Paska, yang dirayakan untuk menghormati TUHAN, bermula pada saat matahari terbenam, pada hari keempat belas bulan pertama.