Son of Man

To describe himself Jesus used "Son of Man" most often. In Luke 22:69, he refers to an Old Testament passage (Daniel 7:13,14) about a son of man (human being) who was given an everlasting kingdom. The Jews have understood Daniel to be referring to the promised Messiah.

Daniel 7:13,14:

"In my vision at night I looked, and there before me was one like a son of man, coming with the clouds of heaven. He approached the Ancient of Days and was led into his presence. He was given authority, glory and sovereign power; all peoples, nations and men of every language worshiped him. His dominion is an everlasting dominion that will not pass away, and his kingdom is one that will never be destroyed.

Luke 22:69,70:
But from now on, the Son of Man will be seated at the right hand of the mighty God." They all asked, "Are you then the Son of God?" He replied, "You are right in saying I am."


Scripture taken from the New International Version.
Jesus carries the cross

MUKJIZAT

DARIPADA ALKITAB

Yahya 2:6-11

6 Orang Yahudi mempunyai adat pembasuhan. Di situ ada enam buah tempayan untuk keperluan itu dan setiap tempayan isinya kira-kira seratus liter air.
7 Isa berkata kepada pelayan-pelayan itu, "Isilah tempayan-tempayan ini dengan air." Mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh.
8 Lalu Isa berkata kepada mereka, "Sekarang ambillah sedikit air itu dan hidangkannya kepada ketua majlis." Mereka membawa air itu kepada ketua majlis.
9 Ketua majlis itu mengecap air yang sudah berubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu. (Hanya pelayan-pelayan yang menuang air itu yang  mengetahuinya.) Oleh itu ketua majlis memanggil pengantin lelaki,
10 lalu berkata kepadanya: "Biasanya orang menghidangkan wain terbaik dahulu, lalu apabila para tetamu sudah puas minum barulah wain biasa dihidangkan. Tetapi kamu menyimpan wain terbaik sehingga sekarang!"
11 Itulah mukjizat pertama yang dilakukan oleh Isa di Kana, di negeri Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya dan pengikut-pengikut-Nya percaya kepada-Nya.

MUKJIZAT

Matius 8:5-13

5 Apabila Isa masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, 
6 "Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita."
7 Isa berkata kepadanya, "Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia."
8 Tetapi ketua askar itu menjawab, "Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh.
9 Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, 'Pergi!' dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, 'Ke mari!' dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, 'Buatlah ini! dia pun melakukannya."
10 Isa hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, "Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. 
11 Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak dan Yakub.
12 Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita."
13 Lalu Isa berkata kepada ketua askar itu, "Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku." Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga.

MUKJIZAT

Lukas 7:1-10

1 Setelah Isa habis memperkatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum.
2 Terdapat seorang hamba ketua askar yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati.
3 Apabila ketua askar itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa pemimpin masyarakat Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu.
4 Ketika pemimpin-pemimpin itu mendapatkan Isa, mereka memohon-Nya bersungguh-sungguh, "Tolonglah kabulkan permintaannya kerana dia patut ditolong.
5 Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah balai sembahyang untuk kita."
6 Lalu Isa pun pergi bersama-sama dengan mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua askar itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, "Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah saya kerana saya tidak layak.
7 Saya juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hamba saya itu akan sembuh.
8 Saya pun di bawah perintah orang atasan dan saya ada askar di bawah perintah saya. Saya memerintah seseorang, ‘Pergilah!’ dan dia akan pergi; saya memerintah seorang lagi, ‘Datang!’ dan dia akan datang. Saya memerintah seorang hamba, ‘Buat kerja ini!’ dan dia akan melakukannya."
9 Isa hairan mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, "Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku melihat orang yang beriman seteguh ini."
10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.

MUKJIZAT

Yahya 5:5-9

5 Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun.
6 Isa nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Isa bertanya kepadanya, "Mahukah kamu sembuh?"
7 Orang sakit itu menjawab, "Tuan, tidak ada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya."
8 Isa berkata kepadanya, "Bangunlah, angkatlah tikarmu dan berjalanlah."
9 Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan. Hal ini berlaku pada hari Sabat. 

MUKJIZAT

Lukas 5:4-9

4 Setelah Dia habis mengajar, Dia berkata kepada Simun, "Tolaklah perahu ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan."
5 Simun menjawab,"Tuan, semalam-malaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa. Tetapi, jikalau Tuan menyuruh, saya akan menebarkan jala."
6 Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak.
7 Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain itu supaya mereka datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam.
8 Apabila Simun Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, "Tinggalkan hamba, ya Rabbi, kerana hamba seorang yang berdosa!"
9 Simun dan semua orang yang bersama-sama dengannya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka.

MUKJIZAT

Markus 1:23-28

23 Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru, 
24 "Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Isa, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!"
25 Isa menengking roh itu, "Diam! Keluarlah daripada orang ini!"
26 Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak.
27 Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, "Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!"
28 Demikian berita tentang Isa tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea.

MUKJIZAT

Lukas 4:33-37

33 Di dalam balai sembahyang itu ada seorang yang dirasuk oleh roh jahat. Ia menjerit dengan nyaring,
34 "Ah, mengapakah Engkau mengganggu kami, Isa, orang Nasaret? Engkau datang untuk membinasakan kamikah? Aku mengetahui siapa Engkau ini: Engkaulah Utusan Suci daripada Allah."
35 Isa memerintah roh jahat itu, "Diam! Keluar daripada dia!" Roh jahat itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.
36 Mereka semua kehairanan dan berkata sesama sendiri, "Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan kewibawaan dan kekuasaan Dia memerintah roh jahat itu dan mereka pun terus keluar."
37 Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.

MUKJIZAT

Matius 8:14-16

14 Isa pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mertua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam.
15 Isa menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Isa. 
16 Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Isa. Isa mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit.

Markus 1:29-34

29 Isa dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yahya, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simun dan Andreas.
30 Ibu mertua Simun sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Isa tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu.
31 Dia menghampiri ibu mertua Simun, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka.
32 Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Isa.
33 Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. 
34 Isa menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Isa tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia.

Lukas 4:38-41

38 Isa keluar dari balai sembahyang itu lalu pergi ke rumah Simun. Ibu mertua Simun sedang demam panas dan mereka memberitahu Isa tentangnya.
39 Isa pergi berdiri di tepi katilnya dan mengusir demam itu. Ibu mertua Simun pulih dengan serta-merta lalu bangun melayani mereka.
40 Pada waktu senja semua orang yang menghidap berbagai-bagai penyakit dibawa kepada Isa. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan semua orang.
41 Roh-roh jahat juga keluar daripada banyak orang dan berteriak, "Engkaulah Anak Allah." Isa menengking roh-roh jahat itu dan Dia tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah Al Masih.

MUKJIZAT

Matius 8:2-4

2 Lalu seorang berpenyakit kusta datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, "Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya."
3 Isa menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, "Aku mahu. Sembuhlah!" Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi.
4 Lalu Isa berkata kepadanya, "Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhan. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh."

Markus 1:40-42

40 Seorang berpenyakit kusta datang kepada Isa. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. "Tuan, jika tuan sudi," katanay, "tuan dapat menyembuhkan saya."
41 Isa mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, "Aku mahu, sembuhlah!"
42 Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh.

Lukas 5:12-13

12 Pada suatu kali Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu memohon kepada-Nya, "Tuan, jikalau Tuan mahu, Tuan berkuasa untuk menyembuhkan saya."
13 Lalu Isa pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh dia sambil berkata, "Saya mahu. Sembuhlah engkau!" Seketika itu juga, penyakit kustanya hilang.

MUKJIZAT

Matius 9:2-8

2 Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Isa. Ketika Isa melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan."
3 Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, "Orang ini mengkufuri Allah!"
4 Isa mengetahui apa yang difikiran mereka, lalu Dia berkata: "Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu?
5 Manakah yang lebih mudah: mengatakan, 'Dosamu sudah diampunkan' atau ' Bangunlah dan berjalanlah'?
6 Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa." Lalu Isa berkata kepada orang yang lumpuh itu,  "Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!"
7 Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah.
8 Apabila orang di situ nampak kejadian itu, mereka ketakutan dan memuji Allah kerana Allah sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia.

Markus 2:2-12

2 Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Isa memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka.
3 Sementara Isa berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh.
4 Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Isa. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak di atas tempat Isa. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.
5 Isa melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan."
6 Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati,
7 "Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!"
8 Pada ketika itu juga Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, "Mengapa kamu berfikir demikian?"
9 Manakah yang lebih mudah: mengatakan, 'Dosamu sudah diampunkan' atau 'Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan'?
10 Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa."
11 Lalu Isa berkata kepada orang lumpuh itu, "Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!" 
12 Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, "Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!"

Lukas 5:18-26

18 Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa.
19 Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke bumbung rumah lalu membuka genting untuk menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.
20 Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Saudara, dosa-dosamu diampunkan."
21 Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, "Siapakah orang ini yang menghina Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?"
22 Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian?
23 Yang manakah lebih mudah? – mengatakan ‘Dosa-dosamu diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan?’
24 Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Anak manusia berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa,…" – Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikar engkau dan pulang ke rumah!"
25 Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar di mana dia berbaring tadi lalu pulang dan memuji Allah.
26 Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah dengan perasaan takut sambil berkata, "Pada hari ini kami sudah menyaksikan hal yang ajaib!"

MUKJIZAT

Lukas 7:12-16

12 Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama-sama dengan wanita itu.
13 Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, "Janganlah menangis."
14 Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, "Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!"
15 Si mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.
16 Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: "Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!" dan "Allah telah menziarahi umat-Nya."

MUKJIZAT

Matius 12:22

22 Kemudian seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Isa. Isa menyembuhkannya sehingga orang itu dapat bercakap dan melihat.

Lukas 11:14

14 Isa mengusir roh jahat daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun hairan.

MUKJIZAT

Matius 8:24-27

24 Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Isa sedang tidur.
25 Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, "Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!"
26 Isa menjawab, "Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?" Lalu Isa bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali.
27 Para pengikut Isa hairan. Mereka berkata, "Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?"

Markus 4:37-41

37 Lalu angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu sehingga hampir penuh dengan air.
38 Tetapi Isa sedang tidur di bahagian belakang perahu itu, dengan kepala-Nya beralaskan bantal. Pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia dan berkata,: "Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!"
39 Isa bangun lalu menengking angin, dan berkata kepada ombak, "Diam! Tenanglah!" Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali.
40 Lalu Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?"
41 Mereka menjadi sangat takut sehingga mula bercakap sesama sendiri, "Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepada-Nya!"

Lukas 8:23-25

23 Ketika mereka sedang berlayar, Isa tidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.
24 Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, "Tuan, Tuan, perahu kita hampir tenggelam." Isa bangun lalu menengking angin dan ombak yang kencang itu. Ribut itu pun berhenti dan menjadi teduh.
25 Isa berkata kepada mereka, "Di manakah imanmu?" Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, "Siapakah orang ini sehingga angin dan air menurut perintah-Nya?"

MUKJIZAT

Matius 8:28-34

28 Apabila Isa tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ.
29 Apabila mereka melihat Isa, mereka berseru, "Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?"
30 Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan.
31 Roh-roh jahat itu memohon kepada Isa, "Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu."
32 "Pergilah," kata Isa. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. 
33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat.
34 Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Isa. Apabila mereka melihat Isa, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka. 

Markus 5:1-20

1 Kemudian Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di seberang Tasik Galilea, di daerah Gerasa.
2 Sebaik sahaja Isa turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur. 
3 Orang itu dirasuk roh jahat dan tinggal di kawasan perkuburan. Tiada seorang pun dapat mengikat ida lagi, walaupun dengan rantai.
4 Banyak kali kaki dan tangannya dirantai, tetapi dia sentiasa memutuskan rantai itu dan mematahkan belenggu besi pada kakinya. Dia begitu kuat sehingga tiada seorang pun dapat menahaninya.
5 Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu.
6 Dia masih jauh tatkala dia nampak Isa. Segera dia lari mendekati Isa lalu sujud di hadapan-Nya. 
7 Dengan suara keras dia berseru, "Hai Isa, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!"
8 (Dia berkata demikian kerana Isa berkata kepadanya, "Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!")
9 Lalu Isa bertanya kepadanya, "Siapa namamu?" Orang itu menjawab, "'Legiun' -- kerana kami ini banyak sekali."
10 Dia memohon dengan sangat supaya Isa tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu.
11 Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. 
12 Roh-roh jahat itu memohong kepada Isa, "Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu."
13 Isa bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu -- lebih kurang dua ribu ekor -- terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam.
14 Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku.
15 Mereka datang kepada Isa dan nampak orang yang tadinya dirasuk roh jahat, duduk di situ. Dia sudah berpakaian dan fikirannya waras. Mereka semua ketakutan. 
16 Semua orang yang telah menyaksikan perkara itu memberitahu mereka apa yang sudah berlaku kepada orang itu dan kawanan babi itu.
17 Oleh itu mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.
18 Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh jahat memohon kepada-Nya, "Guru, benarkanlah saya mengikut guru."
19 Tetapi Isa tidak membenarkan dia ikut. Sebaliknya Isa berkata kepadanya, "Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!"  
20 Demikianlah orang itu pergi ke seluruh daerah Sepuluh Kota dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Semua orang yang mendengarnya kehairanan. 

Lukas 8:26-39

26 Mereka berlayar ke wilayah Gerasa yang berseberangan dengan Tasik Galilea.
27 Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh jahat dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.
28 Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, "Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Anak Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku."
29 Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh jahat itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh jahat ke padang gurun.
30 Isa bertanya kepadanya, "Siapakah namamu?" Dia menjawab, "Legiun" kerana dia telah dirasuk oleh banyak roh jahat.
31 Roh-roh jahat itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
32 Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh jahat itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.
33 Roh-roh jahat itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.
34 Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.
35 Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat itu duduk di kaki Isa dengan berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.
36 Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang dirasuk roh jahat itu telah disembuhkan.
37 Lalu semua penduduk wilayah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang.
38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-sama dengan-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang
39 dan berkata, "Pulanglah ke rumahmu dan khabarkan segala perbuatan Allah untukmu." Orang itu pergi menyebarkan segala perbuatan Isa untuknya di seluruh bandar itu.

MUKJIZAT

Matius 9:20-22

20 Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Isa dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.
21 Wanita itu berkata dalam hati, "Asal sahaja aku menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh."
22 Isa berpaling dan nampak dia. Isa berkata kepadanya, "Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh!" Pada ketika itu juga wanita itu sembuh.

Markus 5:25-34

25 Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun.
26 Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya.
27 Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Isa. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Isa dari belakang.
28 "Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya," kata wanita itu dalam hati, "tentu aku akan sembuh."
29 Dia menyentuh jubah Isa dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh.
30 Pada saat itu juga Isa menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Isa berpaling kepada orang ramai dan bertanya, "Siapa yang menyentuh jubah-Ku?"
31 Pengikut-pengikut-Nya berkata, "Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa menyentuh Guru?"
32 Tetapi Isa memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya.
33 Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Isa dan memberitahu Dia segala-galanya. 
34 Isa berkata kepada wanita perempuan itu: "Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!"

Lukas 8:43-48

43 Terdapat seorang perempuan yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapa pun.
44 Perempuan itu datang dari belakang Isa dan menyentuh kaki jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh.
45 Isa berkata, "Siapakah yang menyentuh Aku?" Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, "Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan."
46 Tetapi Isa berkata, "Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku."
47 Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga.
48 Isa berkata kepadanya, "Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera."

MUKJIZAT

Matius 9:18-19,23-26

18 Sementara Isa berkata-kata dengan para pengikut Yahya Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, "Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula."
19 Isa bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Isa pun ikut serta. 

23 Apabila Isa tiba di rumah ketua itu, Dia melihat para pemian muzik perkabungan dan semua orang di situ kecoh.
24 Dia berkata, "Keluarlah kamu semua! Anak ini tidak mati; dia hanya tidur." Mereka mula mentertawakan Isa.
25 Tetapi sebaik sahaja mereka keluar, Isa masuk ke dalam bilik anak perempuan itu lalu memegang tangannya. Anak itu pun bangkit.
26 Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu.

Markus 5:22-24,35-43

22 Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan Isa.
23 Dia memohon dengan sungguh-sungguh, "Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!"
24 Isa pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Isa amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi. 

35 Semasa Isa berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus, dan memberitahu Yairus, "Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi."
36 Isa tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, "Jangan takut, percayalah kepada-Ku!"
37 Setelah itu Isa tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus.
38 Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Isa melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat. 
39 Lalu Isa masuk dan berkata kepada mereka, "Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; hanya tidur!"
40 Mereka mula mentertawakan Isa. Oleh itu Isa menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring. 
41 Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, "Talitha kum," yang bererti, "Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!" 
42 Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum.
43 Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, "Berilah anak ini makanan."

Lukas 8:41-42,49-56

41 Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua balai sembahyang datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Isa dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya
42 kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati.

49 Sementara Isa masih mengatakannya, seorang utusan datang dari rumah ketua balai sembahyang dan berkata kepada ketua itu, "Anak tuan telah mati. Tidak perlu menyusahkan Tuan lagi."
50 Isa mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, "Janganlah takut, percaya sahaja dan anakmu akan selamat."
51 Apabila sampai ke rumah itu, Isa tidak membenarkan sesiapa pun masuk bersama-sama selain Petrus, Yahya dan Yakub serta ibu bapa budak itu.
52 Semua orang menangis dan meratapi kematian budak itu. Isa berkata, "Janganlah menangis. Dia bukan mati , dia cuma tidur."
53 Mereka mengetawakan Isa kerana mereka mengetahui anak itu telah mati.
54 Tetapi Isa memegang tangan budak itu dan berseru, "Anak-Ku, bangunlah!"
55 Nyawa budak itu kembali dan dia bangun seketika itu juga. Lalu Isa menyuruh mereka memberi budak itu makanan.
56 Ibu bapanya kagum tetapi Isa melarang mereka mengatakan apa-apa tentang kejadian itu kepada sesiapa pun.

MUKJIZAT

Matius 14:15-21

15 Pada petang harinya, pengikut-pengikut Isa datang dan berkata kepada-Nya, "Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan."
16 Tetapi Isa menjawab, "Mereka tidak usah pergi; kamu sendiri beri mereka makanan."
17 Pengikut-pengikut-Nya berkata, "Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!"
18 Isa berkata, "Bawalah makanan itu kepada-Ku."
19 Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Isa mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.
20 Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.
21 Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.

Markus 6:35-44

35 Apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Isa kepada-Nya dan berkata kepada-Nya, "Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil.
36 Suruhlah semua orang ini pergi. Biarlah mereka pergi ke pekan dan kampung di sekitar sini untuk membeli makanan."
37 Tetapi Isa menjawab, "Lebih baik kamu beri mereka makanan." Pengikut-pengikut-Nya bertanya, "Adakah Guru mahu kami pergi membeli roti seharga dua ratus keping wang perak supaya kami dapat memberikan makanan kepada mereka?"
38 Isa berkata kepada mereka, "Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu." Setelah mereka pergi melihat, mereka  berkata, "Lima ketul roti dan dua ekor ikan."
39 Lalu Isa memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di rumput yang hijau.
40 Mereka pun duduk dengan teratur dalam kelompok. Ada yang seratus orang sekelompok dan ada pula yang lima puluh orang.
41 Setelah itu Isa mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. 
42 Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang.
43 Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. 
44 Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang. 

Lukas 9:12-17

12 Pada waktu senja dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, "Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke pekan-pekan dan kampung-kampung di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.
13 Isa berkata kepada mereka, "Kamulah memberi mereka makanan." Pengikut-pengikut itu berkata lagi, "Pada kami hanya ada lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Tuan mahu kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini?"
14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok."
15 Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.
16 Isa mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.
17 Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.

Yahya 6:5-14

5 Isa melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Isa berkata kepada Filipus, "Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?"
6 Isa mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.
7 Filipus menjawab, "Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja."
8 Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simun Petrus berkata, 
9 "Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?"
10 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Suruhlah mereka duduk." (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki.
11 Isa mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. 
12 Setelah semua orang makan sampai kenyang, Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang."
13 Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. 
14 Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa, mereka berkata, "Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!"

MUKJIZAT

Matius 14:22-33

22 Kemudian Isa menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang.
23 Setelah orang ramai pergi, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Isa masih sendirian di situ.
24 Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Isa sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan.
25 Antara pukul tiga dan enam pagi, Isa berjalan di atas air dan menghampiri mereka.
26 Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. "Hantu!", jerit mereka dengan ketakutan.
27 Tetapi Isa segera berkata kepada mereka, "Tabahkan hati kamu! Aku Isa. Jangan takut!" 
28 Lalu Petrus berkata, "Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Isa, suruhlah aku datang berjalan di atas air."
29 "Marilah," jawab Isa. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Isa.
30 Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, "Ya Tuhan, selamatkanlah aku!"
31 Dengan segera Isa menghulurkan tangan lalu memegang dia. Isa berkata, "Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?"
32 Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh. 
33 Kemudian pengikut Isa yang di perahu sujud menyembah Isa sambil berkata, "Sesungguhnya Engkau Anak Allah!"

Markus 6:45-52

45 Isa segera menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi terlebih dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang tasik, sementara itu Dia menyuruh orang ramai pulang.
46 Setelah Isa melihat orang ramai itu pergi, Dia pun pergi ke bukit untuk berdoa.
47 Apabila hari sudah malam, perahu pengikut-pengikut Isa sudah ada di tengah-tengah tasik, sedangkan Isa seorang diri di darat.
48 Isa nampak pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Oleh itu, kira-kira antara pukul tiga dan enam pagi, Dia berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Isa hendak mendahului mereka, 
49 tetapi mereka nampak Dia berjalan di atas air. "Hantu!" teriak mereka. 
50 Mereka sangat ketakutan ketika melihat Isa. Tetapi Isa segera berkata kepada mereka, "Tabahkan hati kamu! Aku Isa. Jangan takut!"
51 Lalu Dia menaiki perahu mereka dan angin pun teduh. Pengikut-pengikut-Nya sangat hairan, 
52 kerana masih belum faham akan apa yang telah berlaku dengan lima ketul roti itu; mereka tidak dapat memahaminya.

Yahya 6:16-21

16 Apabila hari sudah senja, pengikut-pengikut Isa turun ke tasik,
17 lalu menyeberangi tasik itu dengan perahu ke Kapernaum. Hari sudah gelap tetapi Isa masih belum datang kepada mereka. 
18 Sementara itu angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora.
19 Pengikut-pengikut-Nya sudah berkayuh kira-kira lima atau enam kilometer, ketika mereka nampak Isa menghampiri perahu dengan berjalan di atas air. Mereka sangat takut.
20 Tetapi Isa berkata kepada mereka, "Janganlah takut, Aku Isa!"
21 Lalu dengan senang hati mereka menyambut Dia naik ke perahu dan pada ketika itu juga sampailah perahu itu di tempat yang ditujui.

MUKJIZAT

Matius 15:22-28

22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Isa dan berseru, "Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk."
23 Isa tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, "Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!"
24 Isa berkata kepada wanita itu, "Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat."
25 Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Isa dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, "Tuan, tolonglah saya."
26 Tetapi Isa menjawab, "Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing."
27 "Betul, tuan," jawab wanita itu, "tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya."
28 Oleh itu Isa berkata kepadanya, "Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!" Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh.

Markus 7:25-30

25 Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Isa. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya.
26 Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Isa mengusir roh jahat yang merasuk anaknya.
27 Tetapi Isa menjawab, "Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing."
28 "Tuan," jawab wanita itu, "anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!"
29 Isa berkata kepadanya, "Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!"
30 Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu.

MUKJIZAT

Markus 7:32-37

32 Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Isa meletakkan tangan-Nya pada orang itu.
33 Isa membawa dia ke tepi, jauh dari orang ramai, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Setelah itu Isa meludah dan menjamah lidah orang itu.
34 Kemudian Isa menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Lalu Dia berkata kepada orang itu, "Efata," yang bererti, "Terbukalah!" 
35 Seketika itu juga telinga orang itu terbuka, lidahnya pulih, lalu dia mula bercakap dengan mudah.
36 Selepas itu Isa melarang mereka menceritakan hal itu kepada siapa pun. Tetapi semakin Isa melarang, semakin mereka menceritakannya. 
37 Semua orang yang mendengar hal itu sangat hairan. Mereka berkata, "Sungguh baik perbuatannya! Dia pun dapat membuat orang tuli mendengar dan orang bisu bercakap!"

MUKJIZAT

Matius 15:32-38

32 Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, "Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan."
33 Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, "Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?"
34 Isa bertanya kepada mereka, "Berapa banyak roti yang ada pada kamu?" "Tujuh ketul," jawab mereka, "dan beberapa ekor ikan kecil."
35 Isa menyuruh orang ramai duduk di atas tanah.
36 Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
37 Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Isa mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul.
38 Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.

Markus 8:1-9

1 Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata,
2 "Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.
3 Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh."
4 Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, "Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?"
5 Isa bertanya kepada mereka, "Berapa banyak roti yang ada pada kamu?" "Tujuh ketul," jawab mereka. 
6 Isa menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
7 Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Isa mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga.
8 Semua orang makan sehingga kenyang -- ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Isa mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul.
9 Kemudian Isa menyuruh orang ramai pulang.

MUKJIZAT

Markus 8:22-26

22 Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa, dan mereka memohon supaya Isa menyentuh dia agar dia sembuh.
23 Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Isa meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, "Dapatkah kamu lihat sesuatu?"
24 Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, "Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan."
25 Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali.
26 Lalu Isa menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, "Jangan masuk lagi ke pekan itu."

MUKJIZAT

Matius 17:14-20

14 Ketika Isa dan pengikut-pengikut-Nya kembali kepada orang banyak itu, datanglah seorang mendapatkan Isa dan menyembah,
15 katanya: "Allah, kasihanilah anakku. Dia sakit ayan dan sangat menderita. Dia sering jatuh ke dalam api dan juga sering ke dalam air.
16 Aku sudah membawanya kepada pengikut-pengikut-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya."
17 Maka kata Isa: "Hai kamu angkatan yang tidak percaya dan yang sesat, berapa lama lagi Aku harus tinggal di antara kamu? Berapa lama lagi Aku harus sabar terhadap kamu? Bawalah anak itu ke mari!"
18 Dengan keras Isa menegur dia, lalu keluarlah syaitan itu daripadanya dan anak itu pun sembuh seketika itu juga.
19 Kemudian pengikut-pengikut Isa datang dan ketika mereka sendirian dengan Dia, bertanyalah mereka: "Mengapa kami tidak dapat mengusir syaitan itu?"
20 Dia berkata kepada mereka: "Kerana kamu kurang percaya. Sebab Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sesawi sahaja kamu dapat berkata kepada gunung ini: Pindah dari tempat ini ke sana, -- maka gunung ini akan pindah, dan takkan ada yang mustahil bagimu.

Markus 9:14-29

14 Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Isa.
15 Sebaik sahaja orang ramai melihat Isa, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. 
16 Isa bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, "Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?"
17 Seorang daripada orang ramai itu menjawab, "Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat.
18 Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya."
19 Isa berkata kepada mereka, "Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!"

20 Mereka pun membawa dia kepada Isa. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Isa, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih.
21 Isa bertanya kepada ayah anak itu, "Sudah berapa lamakah dia begini?" Bapanya menjawab, "Sejak dia masih kanak-kanak lagi!
22 Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!"
23 "Apa katamu? Jika guru dapat?" jawab Isa. "Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!"
24 Bapa itu segera berseru, "Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!"
25 Isa melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, "Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!"
26 Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, "Dia sudah mati!"
27 Tetapi Isa memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri.
28 Kemudian Isa masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, "Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?"
29 Isa menjawab, "Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa." 

Lukas 9:37-42

37 Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan banyak orang bertemu dengan Isa.
38 Seorang antaranya berseru, "Guru, tolonglah anak saya kerana dia anak tunggal saya.
39 Dia dirasuk roh jahat dan tiba-tiba dia berteriak. Dia juga menghidap penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh jahat itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.
40 Saya telah memohon pengikut-pengikut Tuan untuk mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya."
41 Isa menjawab, "Hai orang zaman ini yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus bersama-sama dengan kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari."
42 Semasa dia datang, roh jahat itu mencampakkannya ke tanah lalu menggoncangkannya. Tetapi Isa menengking roh jahat itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.

MUKJIZAT

Lukas 17:11-19

11 Dalam perjalanan Isa ke Baitulmuqaddis, Dia melalui sempadan Samaria dan Galilea.
12 Apabila Dia memasuki sebuah kampung, sepuluh orang berpenyakit kusta datang bertemu dengan Isa. Mereka berdiri jauh sedikit daripada Isa
13 dan berseru kepada-Nya, "Ya Isa, ya Rabbi, kasihanilah kami!
14 Apabila Isa melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, "Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam." Dalam perjalanan, mereka pun sembuh.
15 Salah seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat.
16 Dia bersujud pada kaki Isa dan mengucapkan terima kasih. Dia seorang Samaria.
17 Isa bertanya, "Sepuluh orang disembuhkan. Di manakah sembilan orang lagi? 
18 Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk bersyukur kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?"
19 Isa pun berkata kepadanya, "Bangunlah dan pergi. Imanmu telah menyembuhkan kamu."

MUKJIZAT

Yahya 11:1-46

1 Seorang lelaki bernama Lazarus sakit. Dia tinggal di Betania bersama-sama dua orang saudaranya yang bernama Maryam dan Marta.
2 (Maryamlah yang menuangi kaki Tuhan dengan minyak wangi, lalu menyapunya dengan rambutnya. Lazarus yang sakit itu saudaranya.)
3 Kedua-dua orang saudara ini mengirim khabar kepada Isa, "Tuhan, sahabat yang Tuhan kasihi itu sakit."
4 Apabila Isa mendengar khabar itu, Dia berkata, "Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan."
5 Isa mengasihi Marta, Maryam, dan Lazarus.
6 Tetapi ketika Isa menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
7 Kemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Marilah kita balik ke Judea."
8 Pengikut-pengikut-Nya menjawab, "Guru, baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?"
9 Isa berkata, "Bukankah siang hari lamanya dua belas jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari, tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya bagi dunia ini. 
10 Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya."
11 Setelah berkata demikian, Isa melanjutkan pula, "Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia."
12 Pengikut-pengikut Isa berkata, "Guru, jika Lazarus sudah tidur, dia akan sembuh."
13 Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Isa: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Isa berkata Lazarus benar-benar tidur. 
14 Oleh itu, Isa berkata kepada mereka dengan terus terang, "Lazarus sudah meninggal.
15 Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus."
16 Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Isa, "Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya."

17 Apabila Isa tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari.
18 Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Baitulmuqaddis.
19 Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maryam dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus.
20 Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Isa datang, dia pun keluar untuk menjumpai Isa, tetapi Maryam tinggal di rumah.
21 Marta berkata kepada Isa, "Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!
22 Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta."

23 Isa berkata kepada Marta, "Saudaramu akan hidup kembali."
24 Marta menjawab, "Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat."
25 Isa berkata kepada Marta: "Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
26 Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?"
27 "Ya Tuhan," jawab Marta, "aku percaya bahawa Tuah Anak Allah, Penyelamat yang diutus untuk datang ke dunia ini."

28 Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maryam, saudaranya lalu berbisik kepadanya, "Guru di sini, dan Dia memanggil kamu."
29 Mendengar hal itu, Maryam cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Isa.
30 (Ketika itu, Isa belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.)
31 Orang Yahudi yang sedang menghibur Maryam di rumah, mengikut Maryam ketika mereka melihat Maryam bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana.
32 Apabila Maryam sampai ke tempat Isa dan melihat Dia, Maryam berlutut pada kaki Isa dan berkata, "Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!"
33 Apabila Isa melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maryam juga menangis, Isa sedih hati dan terharu.
34 Dia bertanya kepada mereka, "Di manakah kamu mengubur dia?" 
Mereka menjawab, "Mari lihat, Tuhan."
35 Isa menangis.
36 Semua orang Yahudi di situ berkata, "Lihatlah! Dia sangat mengasihi Lazarus."
37 Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, "Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?"

38 Isa sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar.
39 Lalu Isa berkata, "Tepikan batu ini."
Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, "Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!"
40 Isa berkata kepada Marta, "Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?"
41 Mereka mengetepikan batu itu, lalu Isa menengadah ke langit dan berkata, "Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
42 Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku."
43 Setelah Isa berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, "Lazarus, keluar!"
44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan, dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Isa berkata kepada orang ramai di situ, "Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi." 

45 Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maryam melihat apa yang dilakukan oleh Isa, lalu mereka percaya kepada Isa.
46 Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Isa.

MUKJIZAT

Lukas 13:10-17

10 Pada hari Sabtu Isa mengajar di salah sebuah balai sembahyang.
11 Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh roh jahat sehingga menyebabkannya sakit selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok sekali sehingga dia tidak dapat berdiri tegak.
12 Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, "Engkau sembuh daripada penyakit itu."
13 Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.
14 Tetapi ketua balai sembahyang itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabtu. Lalu dia berkata kepada orang ramai, "Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabtu."
15 Rabbi menjawab, "Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk diberikan minuman pada hari Sabtu?
16 Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabtu?"
17 Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara mulia yang dilakukan oleh Isa.

MUKJIZAT

Matius 21:18-20

18 Keesokan paginya, dalam perjalanan kembali ke kota, Isa lapar.
19 Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Isa berkata kepada pokok itu, "Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!" Dengan segera pokok ara itu layu.
20 Apabila pengikut-pengikut Isa nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, "Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?"

Markus 11:12-14,20-21

12 Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Isa lapar.
13 Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Isa  mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara.
14 Isa berkata kepada pokok ara itu, "Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!" Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Isa itu.

20 Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya.
21 Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Isa, "Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!"

MUKJIZAT

Matius 28:2-20

2 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya.
3 Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji.
4 Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati.
5 Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Isa yang telah disalibkan itu. 
6 Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Isa diletakkan.
7 Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, 'Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.' Ingatlah akan apa yang Aku katakan kepada kamu."
8 Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Isa.
9 Tiba-tiba Isa datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, "Sejateralah kamu." Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia.
10 "Janganlah takut," kata Isa kepada mereka, "pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku." 

11 Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang dari penjaga itu ke kota dan memberitahukan segala yang terjadi itu kepada imam-imam kepala.
12 Dan sesudah berunding dengan tua-tua, mereka mengambil keputusan lalu memberikan sejumlah besar wang kepada askar-askar itu.
13 dan berkata: "Kamu harus mengatakan, bahawa pengikut-pengikut-Nya datang malam-malam dan mencuri-Nya ketika kamu sedang tidur.
14 Dan apabila hal ini kedengaran oleh wali negeri, kami akan berbicara dengan dia, sehingga kamu tidak beroleh kesulitan apa-apa."
15 Mereka menerima wang itu dan berbuat seperti yang dipesankan kepada mereka. Dan cerita ini tersiar di antara orang Yahudi sampai sekarang ini.

16 Dan kesebelas pengikut itu berangkat ke Galilea, ke bukit yang telah ditunjukkan Isa kepada mereka.
17 Ketika melihat Dia mereka menyembah-Nya, tetapi beberapa orang ragu-ragu.
18 Isa mendekati mereka dan berkata: "Kepada-Ku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi.
19 Kerana itu pergilah, jadikanlah semua bangsa pengikut-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus,
20 dan ajarlah mereka melakukan segala sesuatu yang telah Kuperintahkan kepadamu. Dan ketahuilah, Aku menyertai kamu sentiasa sampai kepada akhir zaman.

MUKJIZAT

Markus 16:1-20

1 Setelah hari Sabat berlalu, Maryam Magdalena, Salome, dan Maryam ibu Yakobus pergi membeli ramuan untuk melumuri jenazah Isa.
2 Pada hari  Ahad, pagi-pagi sekali, ketika matahari terbit, mereka pergi ke kubur.
3 Di tengah jalan mereka bercakap sesama sendiri, "Siapakah yang boleh menolong kita menggulingkan  batu penutup pintu kubur?" (Batu itu sangat besar.)
4 Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka melihat bahawa batu itu sudah digulingkan.
5 Mereka masuk ke dalam kubur itu dan di sebelah kanan mereka nampak seorang lelaki muda memakai jubah putih duduk di situ. Mereka terkejut.
6 Lelaki muda itu berkata, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Isa orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan Dia.
7 Sekarang pergilah dan sampaikan khabar ini kepada pengikut-pengikut-Nya termasuk Petrus. Katakan, 'Dia pergi terlebih dahulu daripada kamu ke Galilea. Di situ kamu akan melihat Dia, sebagaimana yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.'"
8 Mereka keluar lalu lari dari kubur itu kerana terkejut dan takut. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut. 

9 Setelah Isa bangkit daripada kematian pada pagi-pagi hari Ahad, mula-mula Dia  menampakkan diri kepada Maryam Magdalena. (Tujuh roh jahat pernah diusir daripada diri Maryam.)
10 Maryam Magdalena pergi menyampaikan khabar itu kepada sahabat-sahabat Isa, yang sedang berkabung dan menangis.
11 Tetapi apabila mereka mendengar Maryam berkata bahawa Isa hidup dan bahawa Maryam sudah nampak Isa, mereka tidak percaya.
12 Sesudah itu Isa menampakkan diri kepada dua orang pengikut-Nya dengan cara lain. Hal itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung.
13 Kemudian pengikut-pengikut ini balik dan memberitahukan hal itu kepada pengikut yang lain, tetapi mereka tidak percaya. 
14 Akhirnya, Isa menampakkan diri kepada sebelas orang pengikut-Nya ketika mereka sedang makan. Dia menegur mereka kerana mereka kurang beriman dan terlalu degil, sehingga tidak percaya kepada kesaksian orang yang sudah melihat sendiri bahawa Dia hidup.

15 Isa berkata kepada mereka, "Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia.
16 Orang yang percaya dan dibaptis akan selamat, tetapi orang yang tidak percaya akan dihukum.
17 Kepada mereka yang percaya akan diberikan tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui.
18 Jika mereka memegang ular atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh."
19 Setelah Tuhan Isa berkata-kata dengan mereka, Dia diangkat ke syurga lalu duduk di sebelah kanan Allah.
20 Pengikut-pengikut Isa pergi mengkhabarkan Berita daripada Allah di serata tempat. Tuhan bekerja bersama-sama mereka dan melalui tanda-tanda itu, Dia membuktikan bahawa perkhabaran mereka benar.

MUKJIZAT

Lukas 24:1-27

1 Awal-awal lagi pada hari Ahad, perempuan-perempuan itu pun pergi ke kubur dengan membawa rempah-rempah harum yang telah disediakan mereka.
2 Mereka mendapati batu penutup kubur itu telah digulingkan dari pintu kubur.
3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa tiada lagi.
4 Mereka berdiri di situ dan berasa sangat bimbang tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka.
5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu bersujud. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup antara orang mati?
6 Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit. Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:
7 Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalibkan dan bangkit pada hari yang ketiga."
8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa.

9 Sekembali mereka dari kubur itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang utusan dan semua pengikut yang lain.
10 Mereka, iaitu Maryam orang Magdala, Yuannah, Maryam ibu Yakub dan perempuan-perempuan yang lain memperkatakan segala perkara itu kepada utusan-utusan.
11 Tetapi utusan-utusan itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak mempercayai mereka.
12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke kubur itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kapan sahaja di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.

13 Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Baitulmuqaddis.
14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu.
15 Sedang mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.
16 Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia.
17 Isa berkata kepada mereka, "Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?" Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
18 Seorang daripadanya yang bernama Keleopas bertanya kepada Isa, "Tuankah satu-satunya orang di Baitulmuqaddis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?"
19 Isa berkata, "Apakah yang telah berlaku?" Mereka menjawab, "Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa kerana apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya.
20 Ketua-ketua imam dan pemimpin-pemimpin masyarakat kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalibkan-Nya.
21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahannya, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku.
22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke kubur pada pagi tadi.
23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Isa hidup.
24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke kubur itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Isa.

25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, "Betapa bodoh kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi!
26 Bukankah Al Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?"
27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tertulis tentang-Nya daripada kitab-kitab Musa dan para nabi dalam Kitab Suci.

MUKJIZAT

Yahya 20:1-31

1 Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap Maryam Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu.
2 Oleh itu, dia lari mencari Simun Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Isa, lalu berkata kepada mereka, "Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!"
3 Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur.
4 Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. 
5 Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. 
6 Simun Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, 
7 dan juga kain yang diikatkan pada kepala Isa. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. 
8 Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. 
9 (Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) 
10 Kemudian pengikut-pengikut Isa itu pulang.

11 Maryam berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu.
12 Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Isa dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki.
13 Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, "Puan, mengapa menangis?"
Maryam menjawab, "Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!"
14 Setelah berkata demikian, Maryam berpaling dan nampak Isa berdiri di situ. Tetapi Maryam tidak tahu bahawa Dia Isa.
15 Isa bertanya kepadanya, "Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?"
Maryam menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maryam berkata, "Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Isa, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya."
16 Isa berkata kepadanya, "Maryam!"
Maryam berpaling kepada Isa lalu berkata dalam bahasa Ibrani, "Rabbuni!" (yang bererti "guru").
17 Tetapi Isa berkata kepadanya, "Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.'" 
18 Oleh itu, Maryam pergi memberitahukan pengikut-pengikut Isa bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya. 

19 Pada hari Minggu itu juga, apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Isa berkumpul di sebuah rumah dengan pintu yang terkunci, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Kemudian Isa datang berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, "Salam sejahtera!" 
20 Setelah berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka. Barulah mereka bersukacita melihat Tuhan. 
21 Isa berkata kepada mereka lagi, "Salam sejahtera! Sebagaimana Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu."
22 Kemudian Isa menghembuskan nafas-Nya kepada mereka dan berkata, "Terimalah Roh Allah. 23 Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, orang itu diampuni oleh Allah. Sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, orang itu tidak diampuni oleh Allah." 

24 Tomas (yang disebut Si Kembar), seorang daripada dua  belas orang pengikut Isa, tidak bersama-sama mereka ketika Isa datang. 
25 Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, "Kami sudah melihat Tuhan!"
Tetapi Tomas menjawab, "Kecuali aku melihat bekas paku pada tangan-Nya dan meletakkan jariku pada bekas luka itu, serta meletakkan tanganku pada rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya." 
26 Seminggu kemudian, pengikut-pengikut Isa berkumpul lagi di tempat itu dan Tomas hadir juga. Semua pintu terkunci, tetapi Isa datang dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, "Salam sejahtera!"
27 Kemudian Isa berkata kepada Tomas, "Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku. Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah!" 
28 Tomas berkata kepada Isa, "Ya Tuhanku! Ya Allahku!"
29 Isa berkata kepadanya, "Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!" 

30 Banyak lagi mukjizat lain yang dilakukan oleh Isa di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis di dalam kitab ini.
31 Tetapi semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Isa Anak Allah,  Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu beroleh hidup sejati.

MUKJIZAT

Yahya 21:1-14,24

1 Setelah itu Isa menampakkan diri sekali lagi kepada pengikut-pengikut-Nya di Tasik Tiberias. Beginilah peristiwa itu berlaku: 
2 Simun Petrus, Tomas (yang disebut Si Kembar), Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Isa yang lain, sedang berkumpul. 
3 Simun Petrus berkata kepada mereka, "Aku hendak pergi menjala ikan." 
Mereka berkata kepadanya "Kami ikut." Oleh itu mereka menaiki perahu lalu bertolak. Tetapi sepanjang malam itu mereka tidak mendapat seekor ikan pun. 
4 Apabila matahari terbit, Isa berdiri di pantai, tetapi mereka tidak tahu bahawa Dia Isa. 
5 Kemudian Isa bertanya kepada mereka, "Hai kawan-kawan, adakah kamu mendapat ikan?" 
"Tidak! Seekor pun tidak," jawab mereka.
6 Isa berkata kepada mereka, "Labuhkanlah jala ke sebelah kanan perahu, lalu kamu akan mendapat ikan." Mereka melabuhkan jala, tetapi mereka tidak terdaya menariknya kembali kerana terlalu banyak ikan yang tertangkap.
7 Pengikut yang dikasihi oleh Isa berkata kepada Petrus, "Dia Tuhan!" Apabila Simun Petrus mendengar bahawa Dia itu Tuhan, Petrus memakai bajunya (yang ditanggalkannya semasa bekerja) lalu terjun ke dalam air.
8 Pengikut-pengikut lain mendarat dengan perahu itu, sambil menarik jala yang penuh dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, kira-kira seratus meter sahaja. 
9 Apabila mereka tiba di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api dan roti pun ada di situ.  
10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, "Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap ke mari."
11 Simun Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Jala itu sarat dengan ikan yang besar-besar; semuanya berjumlah 153 ekor. Meskipun ikan sebanyak itu tertangkap, jala itu tidak koyak.

12 Isa berkata kepada mereka, "Marilah makan." Tidak seorang pun daripada pengikut-Nya berani bertanya, "Siapakah tuan?" kerana mereka tahu bahawa Dia Tuhan. 
13 Oleh itu, Isa menghampiri mereka, mengambil roti, lalu memberikan roti itu kepada mereka. Dia berbuat demikian juga dengan ikan itu. 
14 Inilah kali yang ketiga Isa menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian. 

24 Dialah pengikut yang memberikan kesaksian tentang perkara-perkara ini. Dia juga sudah menulis semua itu. Kita tahu bahawa apa yang dikatakannya benar.

MUKJIZAT

Lukas 1:1-4

1 Kepada Teofilus yang dimuliakan,
Banyak orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengisahkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan kita.
2 Mereka telah mencatat apa yang telah diberitahu kepada kita oleh mereka yang menyaksikan peristiwa-peristiwa ini daripada mulanya dan telah mengisytiharkan perkhabaran itu.
3 Oleh itu, Teofilus, kerana saya telah mengkaji perkara-perkara ini daripada mulanya, saya berfikir eloklah saya mengarang ceritanya dengan teratur untuk Tuan.
4 Saya berbuat demikian supaya Tuan akan mengetahui kebenaran yang sepenuhnya tentang perkara-perkara yang telah diajarkan kepada Tuan.

SELIDIK

Lukas 1:26-38

26 Enam bulan kemudian, malaikat Jibrail diutus oleh Allah ke Nasaret, sebuah kota, di jajahan Galilea,
27 kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.
28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, "Salam kepadamu yang dirahmati! Tuhan bersama-sama denganmu!"
29 Hati Maryam berdebar-debar mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.
30 Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah beroleh rahmat Allah.
31 Engkau akan hamil lalu melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.
32 Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar ‘Anak Allah Yang Maha Tinggi’. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.
33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan."
34 Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, "Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, kerana saya masih dara?"
35 Malaikat itu menjawab, "Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungi engkau. Oleh sebab itu, Anak Suci yang dilahirkan itu akan digelar ‘Anak Allah’.
36 Tambahan pula, saudarimu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.
37 Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil"
38 Maryam berkata, "Aku ini hamba Tuhan. Biarlah jadi kepada aku mengikut kata-katamu itu." Lalu malaikat pun meninggalkannya.

SELIDIK

Lukas 4:14-22

14 Isa kembali ke Galilea dan kuasa Roh menyertai-Nya. Perkhabaran tentang Dia tersebar ke seluruh daerah itu.
15 Dia mengajar di balai-balai sembahyang mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.
16 Kemudian, Isa kembali ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabtu Dia pergi ke balai sembahyang seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.
17 Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Isa dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tertulis:
18 "Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah memilih Aku untuk memberitakan perkhabaran yang baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pelepasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, pembebasan orang yang tertindas,
19 dan mengisytiharkan masanya Tuhan akan menyelamatkan umat-Nya!"
20 Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam balai sembahyang itu tertumpu kepada-Nya.
21 Isa mula berucap kepada mereka, "Pada hari ini juga ayat Kitab Suci ini telah ditepati ketika kamu mendengarnya."
22 Semua orang kagum akan kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, "Bukankah Dia anak Yusuf?"

SELIDIK

Lukas 18:35-43

35 Isa menghampiri kota Jericho. Di situ ada seorang buta yang duduk di tepi jalan untuk meminta sedekah.
36 Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, "Apakah yang sedang berlaku?"
37 Orang memberitahu dia bahawa Isa, orang Nasaret, sedang lalu.
38 Dia pun berseru, "Isa, Anak Daud, kasihanilah aku."
39 Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruh dia diam, tetapi dia berseru dengan lebih kuat, "Ya, Anak Daud, kasihanilah saya."
40 Isa berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Apabila dia mendekati Isa, Isa bertanya,
41 "Apakah yang engkau hendak Aku berbuat bagimu?" Dia berkata, "Tuan, saya mahu melihat kembali."
42 Isa berkata kepadanya, "Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu."
43 Seketika itu juga, dia dapat melihat lalu dia mengikut Isa dan mengucapkan syukur kepada Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.

SELIDIK

Lukas 19:1-10

1 Isa meneruskan perjalanan ke Jericho dan melalui kota itu.
2 Di situ ada seorang yang bernama Zakai. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya.
3 Dia cuba hendak melihat siapa gerangan Isa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu banyak dan dia sendiri pendek.
4 Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Isa yang akan melalui jalan itu.
5 Apabila Isa sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, "Zakai, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu."
6 Zakai turun dengan segera dan menyambut Isa dengan sukacitanya.
7 Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, "Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!"
8 Tetapi Zakai berdiri dan berkata kepada Rabbi, "Tuan, sekarang ini juga saya hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jikalau saya telah menipu sesiapa, saya akan membayarnya kembali empat kali ganda."
9 Isa berkata kepadanya, "Pada hari ini juga keselamatan telah datang kepada seluruh keluarga kamu kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim.
10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat."

SELIDIK

Lukas 10:25-28

25 Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Isa. Dia bertanya, "Guru, apakah yang patut saya buat supaya memperoleh hidup yang kekal?"
26 Isa berkata, "Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah engkau mentafsirnya?"
27 Ahli Taurat itu menjawab, "’Engkau hendaklah mengasihi Allah, Tuhanmu dengan segenap hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segenap kekuatanmu dan dengan segenap akalmu serta engkau hendaklah mengasihi sesama manusia seperti dirimu.’"
28 Isa berkata kepadanya, "Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan engkau akan hidup."

SELIDIK

Lukas 10:29-37

29 Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Isa, "Siapakah sesama manusia itu?"
30 Isa menjawab, "Ada seorang dalam perjalanan dari Baitulmuqaddis ke Jericho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati.
31 Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
32 Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
33 Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan.
34 Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas haiwan tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ.
35 Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, saya akan membayarnya apabila saya datang kembali.’"
36 Isa berkata, "Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?"
37 Ahli Taurat itu menjawab, "Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya." Isa berkata, "Pergi dan berbuatlah sedemikian."

SELIDIK

Lukas 15:11-32

11 Isa berkata seterusnya, "Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki.
12 Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah saya sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.
13 Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanahnya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.
 

14 Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan.
15 Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya.
16 Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.
17 Akhirnya, dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji bapaku dapat makan hingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan!
18 Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya, ‘Ayah, saya telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah.
19 Saya tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah saya ini sebagai salah seorang gaji ayah.’

20 Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.
21 Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, saya telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. Saya tidak layak disebut anak ayah.’
22 Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikannya kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin di jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya.
23 Pilihlah anak lembu yang tambun, sembelihnya dan marilah kita menyambut kepulangan anakku dengan mengadakan jamuan.
24 Anakku ini telah mati tetapi hidup kembali; dia telah sesat tetapi sudah ditemui sekarang.’ Lalu jamuan itu dimulakan.
25 "Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari.
26 Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku ini?’
27 Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’
28 Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia.
29 Anak sulung itu berkata, ‘Tengoklah bertahun-tahun saya bekerja seperti hamba untuk ayah. Saya tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor kambing pun kepada saya supaya saya dapat bersukaria dengan sahabat-sahabat saya.
30 Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya.’
31 Si bapa berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama-sama dengan ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.
32 Kita patut mengadakan jamuan dan bergembira kerana adikmu ini telah mati tetapi hidup kembali; dia telah sesat tetapi ditemui kembali.’"

SELIDIK

Lukas 22:7-20

7 Hari Raya ‘Roti Yang Tidak Beragi’ tiba. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska.
8 Isa menyuruh Petrus dan Yahya, "Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita."
9 Mereka bertanya kepada Isa, "Di manakah Tuan hendak kami menyediakan jamuan itu?"
10 Isa menjawab, "Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya
11 lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru menyuruh kami bertanya, "Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama-sama dengan pengikut-pengikut-Ku?"’
12 Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu hendak menyediakan jamuan Paska."
13 Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
14 Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama-sama dengan pengikut-pengikut yang dua belas itu.
15 Lalu Isa berkata kepada mereka, "Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali memakan jamuan Paska ini bersama-sama dengan kamu sebelum Aku menderita.
16 Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah."
17 Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, "Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.
18 Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang."
19 Isa pun mengambil roti dan memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya itu dengan berkata, "Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati Aku."
20 Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, "Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimeteraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untuk kamu.

SELIDIK

Lukas 22:66-71

66 Pada pagi hari pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke majlis agama. Mereka berkata,
67 "Jikalau Engkau Al Masih, katakanlah kepada kami." Isa berkata kepada mereka, "Jikalau Aku mengatakan kepadamu, kamu juga tidak percaya.
68 Dan jikalau Aku bertanyakan kamu, kamu juga tidak menjawab.
69 Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa."
70 Mereka semua bertanya, "Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?" Isa berkata kepada mereka, "Begitulah katamu sendiri."
71 Mereka berkata, "Apa gunanya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!"

SELIDIK

Lukas 23:32-49

32 Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama-sama dengan Isa.
33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, "Tengkorak", mereka pun menyalibkan Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
34 Isa berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan mereka." Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
35 Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi mengejek-ngejek-Nya, "Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan Diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya Al Masih yang dipilih oleh Allah."
36 Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya
37 lalu berkata, "Jikalau Engkaulah Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu."
38 Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: "INILAH RAJA ORANG YAHUDI."

39 Seorang daripada penjahat yang disalibkan di situ mula menghina Isa. Dia berkata, "Bukankah Engkau Al Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!"
40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, "Tidakkah awak takut akan Allah? Kita semua dihukum mati.
41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa."
42 Dia berkata kepada Isa, "Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu."
43 Isa menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-sama dengan-Ku dalam kebahagiaan syurga."
44 Kira-kira pada pukul dua belas tengah hari matahari tidak bersinar dan kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pada pukul tiga petang.
45 Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terkoyak menjadi dua.
46 Isa berseru dengan suara yang kuat, "Ya bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu." Setelah Isa berkata demikian, Dia pun meninggal.

47 Ketua askar yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, "Sesungguhnya, orang ini tidak bersalah."
48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.
49 Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikuti Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

SELIDIK

Lukas 24:1-27

1 Awal-awal lagi pada hari Ahad, perempuan-perempuan itu pun pergi ke kubur dengan membawa rempah-rempah harum yang telah disediakan mereka.
2 Mereka mendapati batu penutup kubur itu telah digulingkan dari pintu kubur.
3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa tiada lagi.
4 Mereka berdiri di situ dan berasa sangat bimbang tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka.
5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu bersujud. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup antara orang mati?
6 Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit. Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:
7 Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalibkan dan bangkit pada hari yang ketiga."
8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa.

9 Sekembali mereka dari kubur itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang utusan dan semua pengikut yang lain.
10 Mereka, iaitu Maryam orang Magdala, Yuannah, Maryam ibu Yakub dan perempuan-perempuan yang lain memperkatakan segala perkara itu kepada utusan-utusan.
11 Tetapi utusan-utusan itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak mempercayai mereka.
12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke kubur itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kapan sahaja di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.

13 Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Baitulmuqaddis.
14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu.
15 Sedang mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.
16 Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia.
17 Isa berkata kepada mereka, "Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?" Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
18 Seorang daripadanya yang bernama Keleopas bertanya kepada Isa, "Tuankah satu-satunya orang di Baitulmuqaddis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?"
19 Isa berkata, "Apakah yang telah berlaku?" Mereka menjawab, "Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa kerana apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya.
20 Ketua-ketua imam dan pemimpin-pemimpin masyarakat kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalibkan-Nya.
21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahannya, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku.
22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke kubur pada pagi tadi.
23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Isa hidup.
24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke kubur itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Isa.

25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, "Betapa bodoh kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi!
26 Bukankah Al Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?"
27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tertulis tentang-Nya daripada kitab-kitab Musa dan para nabi dalam Kitab Suci.

Lukas 24:46-53

46 Dia berkata lagi, "Demikianlah yang tertulis: bahawa Al Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga.
47 Demi Nama Al Masih, perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan kepada semua bangsa, mulai Baitulmuqaddis.
48 Kamulah saksi segala perkara ini.
49 Dan Aku sendiri akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Oleh itu, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah."
50 Kemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka.
51 Sedang Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka.
52 Pengikut-pengikut-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Baitulmuqaddis dengan penuh kegembiraan.
53 Mereka meluangkan masa di Bait Suci untuk mengucap syukur kepada Allah.

SELIDIK

Lukas 7:36-50

36 Salah seorang Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang Farisi itu lalu duduk makan.
37 Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol berisi minyak wangi.
38 Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.
39 Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, "Jika orang ini seorang nabi, tentulah dia mengetahui perempuan yang menyentuhnya seorang yang hidup dalam dosa."
40 Isa menjawabnya, "Simun, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu." Simun berkata, "Ya Guru, katakanlah."
41 "Ada dua orang berhutang kepada seorang peminjam wang. Seorang berhutang lima ratus dinar dan seorang lagi lima puluh dinar.
42 Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?
43 Simun menjawab, "Saya rasa orang yang dihapus hutangnya yang lebih besar itu." Isa berkata kepadanya, "Betullah jawapanmu."
44 Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simun, "Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya.
45 Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku.
46 Engkau tidak menuang minyak zaitun pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku.
47 Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kasihnya yang besar membuktikan dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja menunjukkan kasih yang sedikit juga."
48 Isa berkata kepada perempuan itu, "Dosa-dosamu telah diampunkan."
49 Mereka yang makan bersama-sama dengan Isa berkata sesama sendiri, "Siapakah orang ini yang dapat mengampunkan dosa pula?"
50 Isa berkata kepada perempuan itu, "Imanmu telah menyelamatkan engkau. Pergilah dengan sejahtera."

SELIDIK

Lukas 6:46-49

46 "Mengapakah kamu memanggil Aku ‘Rabbi, Rabbi,’ tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?
47 Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta mentaati kata-kata-Ku. 
48 Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.
49 Akan tetapi, orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak mahu mematuhinya umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila banjir berlaku, rumah itu akan roboh dengan dahsyatnya sekali.